Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 16 November. - Bersempena dengan Hari Diabetes Sedunia 2025, Pusat Promosi Kesihatan (HPC) dengan kerjasama Pusat Endokrin, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) serta beberapa jabatan klinikal menganjurkan Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2025 di OneCity Shopping Centre, dengan tema 'Diabetes dan Kesejahteraan' (Diabetes and Wellbeing).
Hadir dan seterusnya merasmikan sambutan berkenaan, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pakar Perubatan, Dr. Yung Chee Kwang selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2025.
Beliau antara lain menjelaskan, perkembangan situasi diabetes merupakan satu kebimbangan besar terhadap komuniti global, termasuk di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Menurutnya, Persekutuan Diabetes Antarabangsa dalam edisi ke-11 terbaharu menerbitkan bahawa 'tsunami diabetes' dijangka terus meningkat daripada 589 juta pada 2024 kepada 850 juta pada 2050.
Jelasnya lagi, NBD seperti negara-negara lain di dunia, tidak terkecuali daripada nasib yang sama dengan peningkatan prevalens diabetes mellitus daripada 9.7 peratus pada 2016 kepada 15 peratus pada 2023.
Dr. Yung Chee Kwang seterusnya berkata, seiring dengan perkembangan situasi yang merisaukan berkenaan, meningkatlah juga kos komplikasi dan perbelanjaan penjagaan kesihatan dalam menguruskan keadaan tersebut.
"Kita bukan hanya membicarakan tentang kos ubat-ubatan dan pemeriksaan bersama doktor, namun kita membicarakan tentang kos yang amat besar dan akibat yang boleh dielakkan seperti penyakit jantung, kegagalan buah pinggang, buta, dan amputasi.
"Komplikasi-komplikasi ini memberi kesan yang besar kepada individu dan meningkatkan kos kesihatan negara secara ketara dan oleh itu, tindakan perlu diambil segera untuk menanganinya," ujarnya lagi.
Majlis kemudian diteruskan dengan perasmian sambutan berkenaan oleh tetamu kehormat majlis.
Tema tahun ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai kaitan antara diabetes dan kesejahteraan mental, memperluas akses kepada sokongan psikologi bagi mereka yang hidup dengan diabetes, memperkukuh tindakan di peringkat komuniti dan dasar bagi penjagaan diabetes yang lebih baik, serta mengurangkan stigma dengan menggalakkan pendekatan yang lebih berbelas kasihan dalam pengurusan penyakit berkenaan.
Pelbagai aktiviti interaktif dan pendidikan turut diadakan sepanjang acara, termasuk pameran kesihatan; khidmat pemeriksaan kesihatan percuma; saringan diabetes dan saringan mata (Saringan Kecerdasan Buatan (AI) oleh Jabatan Oftalmologi); aktiviti mewarna; cabutan bertuah; persembahan koir; kuiz spontan (Pop Quiz) dan ruang bergambar (Photobooth) serta sesi senamrobik.
Pada sambutan berkenaan, Jabatan Pediatrik Hospital RIPAS juga melancarkan buku maklumat bertajuk 'Diabetes Jenis 1 Dalam Kalangan Kanak-kanak di Brunei'.
Buku berkenaan amat istimewa kerana ia diilhamkan oleh para pesakit sendiri, iaitu anak-anak dan keluarga yang setiap hari menunjukkan semangat, ketabahan dan harapan dalam mengharungi cabaran hidup dengan Diabetes Jenis 1.
Selain itu, buku berkenaan juga berfungsi sebagai bahan rujukan dan pengajaran, serta sebagai panduan praktikal yang boleh digunakan oleh ibu bapa di rumah.
Ia mengandungi maklumat yang jelas mengenai diabetes, cara pengurusan harian, serta jawapan kepada soalan-soalan lazim yang dipertanyakan.
Sebanyak 15 buah reruai pameran mengambil bahagian yang melibatkan pelbagai jabatan kesihatan dan agensi swasta, termasuk Pusat Endokrin, Hospital RIPAS; HPC; Klinik Pediatrik; Jabatan Podoterapi; Unit Psikologi dan Psikiatri; Unit Dietetik; Unit Oftalmologi; Program Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSP); EVYD Technology; Jerudong Park Medical Centre (JPMC); Royal Brunei Airlines (RBA); Clarity; K-Seri Pharma; Imagine Sdn. Bhd. dan Jerudong Park Medical Centre College of Health Sciences (JCHS).
Para pengunjung turut digalakkan untuk menyertai Cabaran Saringan Kesihatan, dengan peserta perlu mengumpul setem daripada reruai pameran yang dilawati bagi melayakkan diri untuk menyertai cabutan bertuah.
Aktiviti berkenaan bertujuan untuk menggalakkan penyertaan komuniti, pembelajaran serta kesedaran mengenai pencegahan dan pengurusan diabetes dalam suasana yang menyeronokkan dan interaktif.
Kementerian Kesihatan terus komited dalam menggalakkan gaya hidup sihat serta pemeriksaan awal bagi penyakit diabetes bagi mencegah komplikasi dan meningkatkan kesejahteraan hidup.
Melalui inisiatif seumpama berkenaan, Kementerian Kesihatan berharap dapat memperkukuh sokongan komuniti dan memupuk pendekatan yang lebih holistik terhadap penjagaan diabetes di NBD.
Turut hadir, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai serta kakitangan Kementerian Kesihatan.
Sukarelawan dari Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah (IHS PAPRSB), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan JCHS turut membantu dalam pengurusan orientasi awam, pendaftaran serta bimbingan kepada para pengunjung sepanjang acara berlangsung.